Sunday, January 22, 2012

Terasa Dekat Ketika Disentuh

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

Adakalanya setiap kehidupan yang kita lalui tidak selalunya indah berkekalan dan adakalanya setiap perjalanan hayat yang kita tempuhi tidak selalunya duka berpanjangan. Tidak pernah Allah mencabut sesuatu dari apa yang kita kehendaki melainkan dengan mengantikan sesuatu yang lebih baik pada diri seandainya keredhaan dan kesabaran sentiasa menghiasi diri yang sedang diuji.

Tiada kuasa yang selayaknya di Agungkan, hanya Allah segalanya sandaran harapan, Allah jua yang mengetahui apa yang tersembunyi dalam hati insan. Kedukaan, keresahan serta kesedihan yang kita lalui memberi seribu satu pengertian buat diri yang mengalami sedemikian, sebagai satu langkah permulaan untuk mengingati Tuhan yang sentiasa menyayangi hambanya yang dalam kelalaian. Sedetik diriNya kita lupakan, maka hati yang pada mulanya disulami keindahan akhirnya akan dihimpit kegelisahan, jatuhnya keyakinan dan hilangnya ketenangan.

Demi sesungguhnya, Allah redha akan orang-orang yang beriman, ketika mereka memberi pengakuan taat setia kepadamu (Wahai Muhammad) di bawah naungan pohon (yang termaklum di Hudaibiyah), maka (dengan itu) ternyata apa yang diketahuinya tentang (kebenaran iman dan taat setia) yang ada dalam hati mereka, lalu ia menurunkan ketenangan kepada mereka dan membalas dengan kemenangan yang dekat pada masanya.
[ Surah al-Fath: 18 ]

“Sungguh dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang”.
[ Surah ar-Ra’d: 28 ]

Semakin banyak diri mengingati Allah, fikiran yang sempit semakin terbuka, jiwa yang duka kembali bahagia, hati yang sedih gembira semula, wajah yang muram mula ceria. Tiada ketenangan melainkan dengan mengingatiNya, tiada kekhusyukkan melainkan dengan keikhlasan padaNya, tiada ketenteraman melainkan merendahkan diri di hadapannyaNya. Tiada taubat melainkan hanya pengampunan dariNya. .

Sesungguhnya mereka yang pernah merasai ujian pasti pada akhirnya kemanisan iman akan tersemat, diri yang jauh dari Allah kini semakin dekat, jiwa yang lemah dari kehidupan kini kembali kuat, hati dan jasad yang sakit bertambah sihat. 

Pastinya keimanan itu merupakan rahsia disebalik kerelaan, ketenangan, pengorbanan dan ketabahan.....

Adakah patut manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedangkan mereka tidak diuji?
[  al-Ankabut: 2 ]
Ingatlah, walaupun seribu kebaikan yang pernah kita lakukan, akhirnya akan hilang dari ingatan seseorang dengan hanya satu kesalahan yang kita lakukan..... pelbagai ungkapan cacian yang kita terima, pelbagai cemuhan terpaksa kita tempuhinya, pelbagai makian akan mereka lontarkan kepada kita.

Andai ketabahan masih boleh mengawal diri dan kesabaran masih tetap setia di dalam hati, ketenangan bakal kita temui apabila mampu berlapang dada dan "salamatus sadri", supaya bagi  mereka yang mencaci, memaki dan mengeji akan menyedari kekurangan yang ada pada diri sendiri serta memberi erti buat kita yang merasai....

Tiada manusia yang mampu untuk mengelak diri dari melakukan kesalahan dan kesilapan, tiada seorang pun yang mampu menjadikan dirinya dalam kebaikan berpanjangan, namun di situ Allah masih membuka seluasnya pintu keampunan, memberi peluang kepada kita menyedari kesalahan, muhasabah diri tingkatkan iman, juga menunjukkan haluan untuk kembali ke pangkal jalan, di samping memohon doa dan penyesalan, serta mengabdikan diri kepadaNya dengan penuh keinsafan.




Tangisan yang mengalir merupakan satu saksi, membuktikan takwa dan iman masih tersemat dalam diri, melembutkan rohani dari kerasnya hati, tanda hati masih belum mati………

Sesungguhnya, setiap manusia tidak terlepas dari kesalahan dan kesilapan, namun sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan adalah bertaubat selagi mana dosa-dosa besar dijauhkan.

Jika kamu menjauhkan dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya, Kami akan ampunkan kesalahan-kesalahan (dosa kecil) kamu, dan Kami akan masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga).
[ Surah an-Nisa: 31]


Terasa dekat ketika disentuh..........

Demikian kata-kata yang dinukilkan adalah untuk mengubati hati yang ditimpa ujian, dugaan dan masalah. Diri yang sentiasa berada dalam kelalaian sehingga menimbulkan resah. Jauh dari perhatian Allah yang menjadikan hati mula gelisah. Hanyut dengan arus dunia sehingga hilangnya segala punca dan arah.

Alhamdulillah, Allah masih menyayangi hambanya, walaupun diri dalam kelalaian Allah masih lagi memerhatikan kita. Tatkala diri mula terleka, Allah masih lagi memberi peluang untuk kita perbaiki diri semula.


Sesungguhnya perjalanan kehidupan masih jauh di hadapan kita. Segera kembali ke pangkal jalan dan teruskan usaha, menuju langkah untuk mencapai keredhaanNya, di situ munculnya  ketenangan untuk menyucikan hati membersihkan jiwa……





~ Terasa dekat dengan ALLAH ketika disentuh dengan UJIAN~





Thursday, December 29, 2011

Tersentuh Kerana Wasiat


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.




Dinukilkan dalam Surah al-Lukman, mengenai seorang hamba Allah yang bernama Lukman al-Hakim,  nama diberi dari keturunan Habsyi. Walaupun berkulit hitam pada diri, namun kesolehan  dan sifatnya yang amat terpuji, keikhlasan serta ketulusan dalam mengabdikan diri kepada  Allah sentiasa tinggi, dikurniakan kebijaksanaan dari Allah dalam berbicara dan memimpin sehingga menyentuh hati. Dirinya sungguh bererti sehingga nama yang diberi termaktub dalam kalam Ilahi, sebagai iktibar dan pengajaran buat umat Nabi Muhammad untuk diteladani.

Kisah sirah dan sejarah dalam al-Quran yang telah Allah turunkan kepada umat Baginda, sesungguhnya mempunyai hikmah yang tersingkap dan juga rahsia. Wasiat Lukman al-Hakim kepada anaknya merupakan salah satu epik silam zaman nabi Daud yang termaktub di dalamnya, berguna buat mereka dalam hidup berkeluarga, mendidik diri untuk berusaha, mencapai redha Allah yang sebenarnya.

Wasiat yang beliau berikan kepada anaknya, merupakan satu amanah yang besar buat mereka, juga teladan dan manfaat buat umat Baginda, menerangkan tentang nilai sahsiah dan matlamat sebenar kehidupan dunia, kewajipan yang perlu dilaksanakan terhadap Pencipta, tanggungjawab dan hak persaudaraan kepada manusia, serta merangkumi setiap aspek kehidupan Islam seluruhnya, seimbang dengan matlamat hidup seorang muslim sebagai Islam cara hidup yang mulia.







Tersentuh dengan keindahan caranya, manisnya dalam berbicara dan lembutnya setiap tutur 
kata, menunjukkan nilai kasih sayang dan kecintaan kepada cahaya mata, memberi didikan agama dan akhlak yang cukup sempurna, sebagai salah satu cara untuk dikongsi bersama, agar keberkatan dan keredhaan Allah sentiasa mengiringi mereka, dalam melayari kehidupan berumah tangga.

Cantiknya peribadi Lukman al-Hakim tunjukkan, tersimpul kisahnya yang telah Allah buktikan dalam al-Quran, asas agama dan sahsiah keluarga sebenarnya adalah keutamaan, andai kebaikan yang wujud tidak dilakukan dari permulaaan, nescaya kejahatan sentiasa menerkam mereka yang dalam kelalaian, menghancurkan diri, keluarga dan kehidupan. Mudah-mudahan wasiat dari Lukman al-Hakim memberi manfaat dalam menghadapi kehidupan dunia yang penuh cabaran dan dugaan, kebijaksanaan dalam didikan asas kejayaan.









~ Dari Keluarga Segalanya Bermula ~






Sunday, December 18, 2011

Dari Hati Turun ke Tinta


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.



Saat diterima melanjutkan pengajian ke luar Negara, akhirnya impian terlaksana jua, tanah Jordan tempat mengejar cita, tanpa membuang masa persiapan awal pun bermula, segala perkakas dan keperluan harus diselesaikan segara, mula berhubung dengan  senior-senior  yang berada di sana tentang perkara yang perlu dibawa bersama, tak lupa juga nasihat dan saranan yang berguna diberikan mereka, sentiasa menjadi penguat diri yang baru hendak bermula. Syukran diucapkan sebagai tanda, bantuan yang diberi sungguh bermakna.

Mencuri waktu bersama keluarga, sebelum hari yang ditunggu kian tiba, memulakan ziarah guru dan teman lama, menyatakan hasrat dan doa, juga mngharapkan restu mengiringiku bersama…….

Hati mula tersentuh dengan linangan air mata ibu tercinta, diikuti adik-beradik serta sanak saudara, diriku yang bakal berangkat ke tempat yang  jauh  bezanya, memberi erti dan pengorbanan yang besar buat keluarga, terasa berat hatinya namun dilepaskan dengan penuh pasrah dan redha, hanya Allah yang mengetahui segala isi hati hambanya.

Tak mampu diungkap dengan kata-kata, tak mampu ditafsir setiap bisikan hatinya, hanya kudrat yang diberikan menahan segalanya, terpaksa menyembunyikan setiap kesedihan hatiku dari mereka, agar kesedihan yang terbuka tidak mematahkan semangat untukku mengejar cita-cita, untuk melangkah menuju ke destinasi pertama.

Amat besar pengorbanan diberi, setiap keringatmu kuhargai, buat keluarga yang sentiasa di hati, walaupun jauh di sisi, namun ingatan tak pernah ku lupai………

Tatkala berada di sebalik awan, meredah angin dan juga hujan, laut dan pasir beserta hutan dengan menaiki kapal terbang yang telah ditetapkan, kini negara Malaysia hanya tinggal kenangan, terdetik hati rindukan tempat kediaman, pelbagai kenangan keluar diingatan, air mata mula berlinangan, setitik demi setitik menjadi tangisan…….aduh, bagaimana untuk ku kuatkan, memohon kekuatan hati dari Tuhan sebenar-benar sandaran yang ku harapkan, akhirnya diri ku ditidurkan bagi menghilangkan kesedihan dan bebanan.

Alhamdulillah,

Perjalanan di awanan selamat tiba, destinasi yang dituju akhirnya sampai jua, syukur dipanjatkan penguat jiwa, bersama teman yang turut bersama, debaran hati mula terasa, berdegup kencang gelora dijiwa, hanya selawat dan doa sebagai senjata.

Diri disambut secangkir senyuman, sapaan dan salam tak putus-putus dihulurkan, dari senior-senior  lama yang berada di perantaun, terasa tenang penghargaan yang diberikan sebagai tanda wujudnya permulaan  persahabatan.

Dijamu makanan beserta minuman, dari unit persegaran  yang telah diamanahkan, perut yang awalnya kekosongan kini kekenyangan, dipenuhi dengan makanan yang amat menyelerakan………

Tempat tinggal untuk disewa sudah ditetapkan , hanya melangkah kaki menuju ke tempat yang dijanjikan, Mat'am Syuruk dijadikan tempat permulaan merehatkan badan akibat keletihan semasa dalam perjalanan, walaupun rumah yang diberi masih kurang segala peralatan, namun bersyukur diberi tempat perlindungan, dari angin Jordan yang amat menyejukan, debu pasir yang memeritkan pernafasan serta bunyian kenderaan yang membinggitkan, syukran tidak terhingga atas pertolongan yang dihulurkan, hanya Allah yang mampu membalas setiap kebaikan yang diberikan.

Permulaan ringkasan pengalaman di perantaun dijadikan kisah,  menjejakkan kaki ke dataran Syam yang penuh bersejarah, mengelumit pelbagai peristiwa, memori dan rantaian sirah, Zaid bin Thabit, Jaafar bin Abu Talib dan Abdullah bin Rawahah, sahabat Baginda yang cukup bertuah, pahlawan agama yang syahid di medan Mu’tah, kisah hidup mereka yang cukup indah, menambah semangat ingin mengikut langkah, mudah-mudahan roh perjuangan sahabat Baginda menyerap ke dalam jiwa agar tak merekah, semangat ingin mendapat ilmu agama dan perjuangan sentiasa dalam istiqamah.



Secangkir kasih buat mereka,

Hampir tiga bulan di sini, terlalu cepat masa berlalu berganti hari, imtihan awal dan thani telah direntasi,  sedar tak sedar diri bakal bertemu dengan  imtihan nihaie……Allah, cepatnya masa berlalu, namun rindu terhadap keluarga sentiasa dikalbu, walaupun jauh beribu batu, doa dan restu dapat dirasakan sentiasa mengiringi setiap waktu.


Sekalung doa ku kirimkan,dari jauh buat insan yang sentiasa ku rindukan, buat ibunda, adik-beradik dan sanak saudara yang sentiasa menjadi tunjang kekuatan , semoga sentiasa dirimu dalam perlindungan, doamu amat kuharapkan, memberi kekuatan setiap amalan, dugaan dan cabaran di perantaun memberi sedikit tekanan akibat suasana yang membezakan, juga musim sejuk yang membuatkan kudratku kelemahan, namun setulus ingatan darimu memberi sedikit semangat untuk meneruskan setiap amanah yang diberikan.


Buat sahabat perjuangan, tiada kata-kata yang mampu diungkapkan, hanya mengharap bantuan dan sokongan kalian, sentiasalah membantu dan mengiringiku dalam perjuangan di bumi Syam yang penuh dengan bidang keilmuan, juga laluan perjalanan Baginda ketika diisra’ mi’rajkan, mudah-mudahan seluruh pengorbanan yang Baginda tunjukkan, sedikit sebanyak memberi kekuatan untuk diri ini meneruskan, perjuangan Baginda sebagaimana yang  diamanahkan.

Kepada senior  syabab dan akhwat yang diraikan, setiap tunjuk ajar dan dorongan semangat amat diharapkan, sentiasa menunjukkan diri ini cara dan juga jalan, memandu diriku agar tak tersilap pilihan dan tujuan, mudah-mudahan sedikit bantuan memberi sebesar ganjaran kebaikan, untuk diri ini yang sering alpa dan lalai dalam kehidupan.

Sandaran harapan kepada Allah yang memiliki setiap perancangan, hanya Allah sebaik-baik perancangan, setiap kesusahan pasti ada kesenangan, merupakan suatu putaran kehidupan insan, mereka yang mengharapkan setiap kebaikan, teruskan perjuangan meneruskan sunnah junjungan, bersama berganding bahu merapatkan barisan, memandu ummat menuju arah yang telah digariskan, untuk membantu mereka yang masih dalam khayalan keduniaan, semoga semurni usaha yang dilakukan menghasilkan kejayaan agar Islam sentiasa diamalkan dalam  seluruh  kehidupan…….Allahuakhbar.






 ~ Luahan Secangkir Harapan ~