Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.
Saat diterima melanjutkan pengajian ke luar Negara, akhirnya impian terlaksana jua, tanah Jordan tempat mengejar cita, tanpa membuang masa persiapan awal pun bermula, segala perkakas dan keperluan harus diselesaikan segara, mula berhubung dengan senior-senior yang berada di sana tentang perkara yang perlu dibawa bersama, tak lupa juga nasihat dan saranan yang berguna diberikan mereka, sentiasa menjadi penguat diri yang baru hendak bermula. Syukran diucapkan sebagai tanda, bantuan yang diberi sungguh bermakna.
Mencuri waktu bersama keluarga, sebelum hari yang ditunggu kian tiba, memulakan ziarah guru dan teman lama, menyatakan hasrat dan doa, juga mngharapkan restu mengiringiku bersama…….
Hati mula tersentuh dengan linangan air mata ibu tercinta, diikuti adik-beradik serta sanak saudara, diriku yang bakal berangkat ke tempat yang jauh bezanya, memberi erti dan pengorbanan yang besar buat keluarga, terasa berat hatinya namun dilepaskan dengan penuh pasrah dan redha, hanya Allah yang mengetahui segala isi hati hambanya.

Amat besar pengorbanan diberi, setiap keringatmu kuhargai, buat keluarga yang sentiasa di hati, walaupun jauh di sisi, namun ingatan tak pernah ku lupai………
Tatkala berada di sebalik awan, meredah angin dan juga hujan, laut dan pasir beserta hutan dengan menaiki kapal terbang yang telah ditetapkan, kini negara Malaysia hanya tinggal kenangan, terdetik hati rindukan tempat kediaman, pelbagai kenangan keluar diingatan, air mata mula berlinangan, setitik demi setitik menjadi tangisan…….aduh, bagaimana untuk ku kuatkan, memohon kekuatan hati dari Tuhan sebenar-benar sandaran yang ku harapkan, akhirnya diri ku ditidurkan bagi menghilangkan kesedihan dan bebanan.
Alhamdulillah,
Perjalanan di awanan selamat tiba, destinasi yang dituju akhirnya sampai jua, syukur dipanjatkan penguat jiwa, bersama teman yang turut bersama, debaran hati mula terasa, berdegup kencang gelora dijiwa, hanya selawat dan doa sebagai senjata.
Diri disambut secangkir senyuman, sapaan dan salam tak putus-putus dihulurkan, dari senior-senior lama yang berada di perantaun, terasa tenang penghargaan yang diberikan sebagai tanda wujudnya permulaan persahabatan.
Dijamu makanan beserta minuman, dari unit persegaran yang telah diamanahkan, perut yang awalnya kekosongan kini kekenyangan, dipenuhi dengan makanan yang amat menyelerakan………
Tempat tinggal untuk disewa sudah ditetapkan , hanya melangkah kaki menuju ke tempat yang dijanjikan, Mat'am Syuruk dijadikan tempat permulaan merehatkan badan akibat keletihan semasa dalam perjalanan, walaupun rumah yang diberi masih kurang segala peralatan, namun bersyukur diberi tempat perlindungan, dari angin Jordan yang amat menyejukan, debu pasir yang memeritkan pernafasan serta bunyian kenderaan yang membinggitkan, syukran tidak terhingga atas pertolongan yang dihulurkan, hanya Allah yang mampu membalas setiap kebaikan yang diberikan.
Permulaan ringkasan pengalaman di perantaun dijadikan kisah, menjejakkan kaki ke dataran Syam yang penuh bersejarah, mengelumit pelbagai peristiwa, memori dan rantaian sirah, Zaid bin Thabit, Jaafar bin Abu Talib dan Abdullah bin Rawahah, sahabat Baginda yang cukup bertuah, pahlawan agama yang syahid di medan Mu’tah, kisah hidup mereka yang cukup indah, menambah semangat ingin mengikut langkah, mudah-mudahan roh perjuangan sahabat Baginda menyerap ke dalam jiwa agar tak merekah, semangat ingin mendapat ilmu agama dan perjuangan sentiasa dalam istiqamah.
Secangkir kasih buat mereka,

Sekalung doa ku kirimkan,dari jauh buat insan yang sentiasa ku rindukan, buat ibunda, adik-beradik dan sanak saudara yang sentiasa menjadi tunjang kekuatan , semoga sentiasa dirimu dalam perlindungan, doamu amat kuharapkan, memberi kekuatan setiap amalan, dugaan dan cabaran di perantaun memberi sedikit tekanan akibat suasana yang membezakan, juga musim sejuk yang membuatkan kudratku kelemahan, namun setulus ingatan darimu memberi sedikit semangat untuk meneruskan setiap amanah yang diberikan.

Kepada senior syabab dan akhwat yang diraikan, setiap tunjuk ajar dan dorongan semangat amat diharapkan, sentiasa menunjukkan diri ini cara dan juga jalan, memandu diriku agar tak tersilap pilihan dan tujuan, mudah-mudahan sedikit bantuan memberi sebesar ganjaran kebaikan, untuk diri ini yang sering alpa dan lalai dalam kehidupan.

~ Luahan Secangkir Harapan ~
No comments:
Post a Comment