Thursday, December 29, 2011

Tersentuh Kerana Wasiat


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.




Dinukilkan dalam Surah al-Lukman, mengenai seorang hamba Allah yang bernama Lukman al-Hakim,  nama diberi dari keturunan Habsyi. Walaupun berkulit hitam pada diri, namun kesolehan  dan sifatnya yang amat terpuji, keikhlasan serta ketulusan dalam mengabdikan diri kepada  Allah sentiasa tinggi, dikurniakan kebijaksanaan dari Allah dalam berbicara dan memimpin sehingga menyentuh hati. Dirinya sungguh bererti sehingga nama yang diberi termaktub dalam kalam Ilahi, sebagai iktibar dan pengajaran buat umat Nabi Muhammad untuk diteladani.

Kisah sirah dan sejarah dalam al-Quran yang telah Allah turunkan kepada umat Baginda, sesungguhnya mempunyai hikmah yang tersingkap dan juga rahsia. Wasiat Lukman al-Hakim kepada anaknya merupakan salah satu epik silam zaman nabi Daud yang termaktub di dalamnya, berguna buat mereka dalam hidup berkeluarga, mendidik diri untuk berusaha, mencapai redha Allah yang sebenarnya.

Wasiat yang beliau berikan kepada anaknya, merupakan satu amanah yang besar buat mereka, juga teladan dan manfaat buat umat Baginda, menerangkan tentang nilai sahsiah dan matlamat sebenar kehidupan dunia, kewajipan yang perlu dilaksanakan terhadap Pencipta, tanggungjawab dan hak persaudaraan kepada manusia, serta merangkumi setiap aspek kehidupan Islam seluruhnya, seimbang dengan matlamat hidup seorang muslim sebagai Islam cara hidup yang mulia.







Tersentuh dengan keindahan caranya, manisnya dalam berbicara dan lembutnya setiap tutur 
kata, menunjukkan nilai kasih sayang dan kecintaan kepada cahaya mata, memberi didikan agama dan akhlak yang cukup sempurna, sebagai salah satu cara untuk dikongsi bersama, agar keberkatan dan keredhaan Allah sentiasa mengiringi mereka, dalam melayari kehidupan berumah tangga.

Cantiknya peribadi Lukman al-Hakim tunjukkan, tersimpul kisahnya yang telah Allah buktikan dalam al-Quran, asas agama dan sahsiah keluarga sebenarnya adalah keutamaan, andai kebaikan yang wujud tidak dilakukan dari permulaaan, nescaya kejahatan sentiasa menerkam mereka yang dalam kelalaian, menghancurkan diri, keluarga dan kehidupan. Mudah-mudahan wasiat dari Lukman al-Hakim memberi manfaat dalam menghadapi kehidupan dunia yang penuh cabaran dan dugaan, kebijaksanaan dalam didikan asas kejayaan.









~ Dari Keluarga Segalanya Bermula ~






No comments: