Tuesday, February 7, 2012

Seputih Salju Pembuka Tirai Februari

Cuaca hari ini tidak seperti biasa yang dilalui sebelum ini di sepanjang musim sejuk. Hati sentiasa berbisik seakan-akan ada sesuatu yang pelik dan luar biasa pada hari ini. Terasa kesejukan semakin mencengkam tubuh, urat-urat yang sentiasa bersama jasad terasa seperti keadaan lumpuh, kudrat yang berada dalam diri ini seakan-akan luluh.

 Hanya mengharapkan tilam dan hirom menyelubungi tubuh yang sedang bergeletar akibat kesejukan yang melampau. Namun, tarikan minat pada lap top dan facebook membuatkan tilam dan hirom yang masih setia di tempatnya hanya dibiarkan begitu sahaja sehingga menunggu waktu rasmi diri ini menggunakan khidmatnya pada malam hari.

Diri yang sentiasa khayal bersama lap top dari pagi, terkadang terlintas di hati mengenai cuaca yang pelik pada hari ini. Adakah salji yang telah turun pada dua minggu yang lalu akan kembali atau berlaku perkara yang tidak diduga akan menghampiri bumi Mu’tah ini? Semakin banyak persoalan yang keluar diminda dan berbisik di hati. Tiada ungkapan yang mampu dikeluarkan, hanya mengharap masa dan waktu menunjukkan perkara yang bakal berlaku kemudian.

Sekali-sekala ruang jendela rumah menjadi persinggahan sementara untuk melihat bagaimana keadaan cuaca di luar yang agak pelik sedikit pada hari itu. Kiri, kanan, depan, belakang, atas dan juga bawah ditinjau dengan penuh perhatian, namun tanda-tanda hendak turunnya hujan atau salji masih menjadi persoalan. Tidak diketahui bagaimana tandanya, juga tidak diketahui bagaimana juga keadaannya. Hati berbisik sendirian dengan penuh pengharapan. Lalu, diri kembali semula di hadapan lap top yang menjadi teman setia dari tadi.

Masa dan waktu pantas berlalu, mata yang sentiasa di hadapan lap top semakin lama semakin layu, diri ini yang lama bersandar di kerusi sudah mula merasa lesu, kesejukkan yang mengiringi dari pagi semakin lama semakin padu…..


Sedar tak sedar, waktu zohor semakin hampir menjelma. Masjid Syuhada yang tersergam indah nan hijau bakal ke sana. Menanti laungan azan yang akan bergema, mula bersiap-siap mengemas diri dengan segera.

Mula berkumandangnya azan Zohor yang amat syahdu, diri sudah mula melangkah ke depan pintu, menurun anak tangga satu persatu, tiba dipintu bawah disiram angin kencang yang amat padu…….hanya Allah yang tahu.

Perjalanan ke masjid diteruskan dengan hati yang kuat, badan yang kerdil terpaksa dipeluk erat, mengelakkan diri terus kesejukan terpaksa berjalan dengan cepat.

Setiba di pertengahan jalan, tiba-tiba terasa pipi dihinggap seketul ais yang tidak diundang kehadirannya , pakaian baju yang berwarna hijau kelihatan keputihan sedikit demi sedikit yang mengagumkan pandangan mata…..….. Diri terpegun seketika.


Setitik demi setitik ketulan ais yang hadir di bumi Mu’tah mula menghiasi suasana pekan. Orang ramai yang berada di situ mula riuh-rendah dengan kehadiran salji yang mempesonakan. Kedai roti, kedai runcit, kedai sayur dan sebagainya kini menjadi kunjungan pelanggan, untuk membeli barangan simpanan masakan di waktu salji yang bakal memenuhi ruang kediaman.


Bagi diri yang masih belum sampai di dataran Masjid Syuhada ini,mula berjalan perlahan memerhati gelagat pelajar Malaysia yang pertama kali merasai bagaimana perasaan turunnya salji, terutamanya khas buat diri ini. Tidak lupa juga sebahagian orang arab yang memerhati pelajar Malaysia yang bermain ketulan ais walaupun hanya sedikit sahaja yang baru turun mengiringi.

“Sebelum bilal masjid mula melaungkan iqamatnya, lebih baik solat dulu, kemudian bolehlah main salji lepas ni”. Bisik hati yang dalam keadaan teruja dan terpesona.

Setelah selesai solat Zohor secara berjemaah, bersegera keluar dari masjid sambil melihat suasana hujan batu yang masih turun tanpa henti. Kebetulan di situ kelihatan sahabat yang berada di masjid, lalu mengajaknya pulang ke rumah sambil menikmati hujan batu sementara masih belum berhenti lagi. Tidak lupa juga untuk singgah di kedai Halawiyat yang telah dibeli oleh sahabat sejati Afwa Mustafa sebagai makanan sampingan untuk menceriakan keadaan di rumah sementara menunggu waktu Asar menjelma. 

Di sepanjang perjalanan pulang, keadaan jalan mula kelihatan takungan air yang melimpah serta banjir yang seakan-akan sungai kian berderas akibat tiada sistem perparitan yang sempurna, ruang hadapan kedai-kedai di sekitar pekan Mu’tah sudah mula keputihan akhirnya, ketulan-ketulan ais yang turun dari langit sudah mula menebal sedikit demi sedikit membuatkan hati makin teruja juga bertambah gembira, diri seakan-akan tidak percaya fenomena yang berlaku tanpa diduga.


Setiba di rumah, seluruh anggota sudah mula kebas membuatkan soba yang sedang mati dihidupkan, Halawiyat yang masih dalam bungkusan di keluarkan, air suling yang berada dalam keadaan sejuk dipanaskan serta makanan yang telah panas dihidangkan dalam dulang untuk dijamu oleh ahli rumah dan tetamu yang bertandang di ruang depan.

Sambil menjamu selera, sambil bercerita, sambil memberi idea, sambil merancang aktiviti yang akan diguna, tiba-tiba seorang sahabat memberi idea.

“Apa kata lepas Asar ni kita pegi Maazar. Kat sana salji agak tebal, cantik pun cantik. Macam mana? Nak tak?”

“Kalau diikutkan hati yang baru nak rasa first time bermain salji, sekarang juga mahu ke sana, tapi eloklah kiranya kalau kita membuat persiapan sebelum ke sana. Lepas solat Asar pun waktu yang terbaik juga kalau hendak ke sana. Mungkin waktu tu salji semakin tebal”. Bisik di dalam hati serta memberi cadangan kepada teman.


“Ok juga kalau macam tu. Kita siap-siap kejap lagi, lepas Asar kita kumpul kat Masjid Syuhada. Sampai kat situ, kita gerak ke Maazar ye”. Sahut sahabat menambah cadangan.

Azan Asar mula berkumandang memanggil diri menuju ke Masjid Syuhada untuk solat Asar berjemaah di sana.

Diri sudah bersiap sedia, mengunci pintu dan terus menuruni tangga, langkah bermula dengan gembira, untuk bermain salji bersama-sama.

Selesai solat Asar di Masjid Syuhada seperti yang dirancang bersama teman, bersegera kami mencari van dan menuju ke tempat yang telah dijanjikan, sepanjang perjalanan diri terpesona melihat seluruh kawasan keputihan, diselaputi salji yang sungguh mengasyikkan.


Akhirnya, tempat yang telah dijanjikan selamat tiba seperti yang dirangka. Tanah lapangan untuk bermain salji merupakan destinasinya, tanah merah sebelum ini telah bertukar menjadi putih tanpa dijangka, membuatkan kami teruja dan terpesona, merupakan kali pertama merasai saat salji turun di depan mata…….. Subhanallah.


“Apa gunanya salji yang mengelilingi kita kat sini tidak digunakan sebaiknya? Apa gunanya salji yang semakin tebal kat kawasan ini dibiarkan begitu je”. Bisik dalam hati sendiri.

Tanpa membuang masa, salji yang digumpal padat sudah berada di tangan. Hanya menunggu badan teman yang berada di hadapan sebagai sasaran.

Maka, bermulalah aktiviti baling-membaling gumpalan salji antara satu sama lain sehingga kepenatan hadir menyinggah setiap diri masing-masing.........hehehe, penatnya....


Aktiviti di teruskan dengan menuju ke pekan Maazar untuk menyaksikan suasana salji di sana. Amat terpesona melihat Masjid Maazar yang terdapatnya makam Syuhada terdiri dari Zaid bin Harithah dan Ja’afar bin  Abi Talib serta Abdullah bin Rawahah diselaputi seputih salju yang menenangkan, serta serpihan salji yang melekat di lantai dan di dinding masjid yang amat mengagumkan.  


Mungkin keindahan masjid yang diselubungi oleh salji yang tebal di situ membuktikan kesucian kawasan yang terdapatnya tiga para syuhada. Sekali-sekala  menambah ketenangan dan keindahan bagi mata yang memandang.

Setelah seronok bermain dan meninjau suasana di sekitar Maazar, akhirnya kami mengambil keputusan untuk pulang ke rumah sebelum menjelangnya waktu senja. Perjalanan pulang yang mengambil masa selama lima belas minit dengan menaiki van selamat tiba di hadapan Masjid Syuhada.

 Sementara waktu Magrib belum lagi menjelma, eloklah kiranya pulang ke rumah dahulu untuk membersihkan badan dengan segera, untuk mendapatkan solat berjemaah di barisan pertama, namun apakan daya, setiba di rumah azan mula bergema.

Kepenatan bermain salji masih belum hilang, namun puas dapat bermain di kawasan tanah lapang, bersama teman serumah dan jiran dengan hati yang riang, amat teruja pertama dalam hidup muncul salji yang tidak diundang.

Walaupun ada sebilangan mereka yang kurang seronok dengan kehadiran salji, namun dari sudut hati amat bermakna pada diri yang merasai, mungkin diri ini baru pertama kali merasai saljinya di bumi Mu’tah ini serta pelajar tahun satu yang masih baru belajar sini.

Sesungguhnya salji yang turun di bumi merupakan satu Rahmat dan Nikmat dari Allah kepada makhluknya.



Mungkin analogi yang boleh disimpulkan mengenai hadirnya salji ini adalah sebagai satu bentuk pembersihan zahiriah sepanjang musim sejuk yang ditempuhi, ganjaran mereka menahan kesabaran dalam melakukan amalan kebaikan di musim sejuk yang mencabar diri, melawan kehendak nafsu dan keinginan tidur yang berpanjangan di pagi hari. 


Semoga musim sejuk yang ditempuhi memberi natijah yang berkualiti bagi diri yang merasai.










                                                   


                                                          Sekadar perkongsian bersama teman

~ Sehari di musim salju ~











No comments: